Ahmad, Noor Wahyuni
(2014)
Kajian Kesepadanan Reka Bentuk Kabinet Dapur Dengan Antropometrik Wanita Di Malaysia.
Masters thesis, Universiti Sains Malaysia.
Abstract
Penyelidikan ini mengkaji kesepadanan reka bentuk kabinet dapur dengan antropometrik wanita di Malaysia. Dalam satu reka bentuk dapur pasang siap yang lengkap, majoriti unitnya terdiri daripada kabinet zon penyimpanan, zon memasak dan zon mencuci. Enam puluh peratus (60 %) kabinet pada sesebuah reka bentuk dapur adalah merupakan kabinet bagi penyimpanan perkakasan dan peralatan dapur. Memandangkan betapa pentingnya fungsi kabinet dapur ini, selayaknya reka bentuk kabinet dapur diberikan perhatian dalam menghasilkan rekaan yang lebih berkesan. Oleh yang demikian, penyelidikan ini memberi fokus kepada kabinet dapur pasang siap bagi zon penyimpanan sahaja, tidak termasuk zon mencuci dan zon memasak. Reka bentuk dan fungsi kabinet penyimpanan di dapur haruslah lebih optimum dalam memenuhi keperluan pengguna di mana faktor ergonomik di dalam sesebuah reka bentuk kabinet dapur itu tidak boleh diabaikan. Kesepadanan reka bentuk dapur dari segi ukuran kabinet dapur dengan saiz pengguna ini boleh dicapai dengan adanya pengukuran antropometrik yang memfokuskan kepada saiz wanita di Malaysia. Kesepadanan antara ukuran kabinet dapur dengan antropometrik pengguna dan penggunaan kabinet penyimpanan dengan betul dapat membantu meminimumkan risiko ergonomik yang boleh berlaku pada pengguna . Pengguna boleh mengalami risiko ergonomik seperti trauma kesakitan berulang seperti sakit belakang atau lenguh-lenguh otot sekiranya faktor ergonomik ini diabaikan. Kajian ini dijalankan melalui empat (4) kaedah iaitu temubual, pemerhatian, borang soalan kaji selidik dan kajian lapangan.
Actions (login required)
|
View Item |