Yaacob, Che Mohd Aziz
(2013)
Transformasi Gerakan Pemisah Dan
Potensi Penyelesaian Konflik
Di Selatan Thailand.
PhD thesis, Universiti Sains Malaysia.
Abstract
Konflik di Selatan Thailand telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Perjuangan untuk
memerdekakan kawasan ini telah berlangsung dengan melibatkan pelbagai kelompok
termasuk pihak beraja, ulama, serta kumpulan-kumpulan pejuang kemerdekaan yang
terbentuk sejak tahun-tahun 1950an dan 1960an. Perjuangan kemerdekaan ini telah
meletakkan kumpulan-kumpulan ini bertentangan dengan pemerintah Thailand dalam
konflik “penentu nasib sendiri” (self-determination) yang melibatkan isu-isu identiti,
politik, sosio-ekonomi, keadilan, dan lain-lain lagi. Kajian ini memfokuskan kepada
kumpulan-kumpulan ini dengan melihat kepada transformasi mereka dari segi
organisasi, pergerakan, strategi serta hala tuju, dan potensinya kepada transformasi
situasi konflik di Selatan Thailand. Beberapa persoalan utama ditanya oleh kajian ini
termasuk apakah perubahan-perubahan yang berlaku dalam Pertubuhan Gerakan
Pembebasan Patani (PGPP) selepas tahun 2004 dan impaknya kepada transformasi
konflik? Adakah transformasi PGPP ini telah membawa kepada perubahan yang
konstruktif atau sebaliknya? Siapakah atau kumpulan manakah yang aktif dan memberi
impak kepada proses transformasi ini? Akhir sekali, apakah dinamika hubungan antara
kumpulan-kumpulan PGPP ini dan apakah kesannya kepada proses transformasi.
Soalan-soalan ini dikemukakan bagi mencapai objektif kajian termasuk mengenal pasti
elemen perubahan dalam PGPP; bagaimana ianya mempengaruhi transformasi konteks,
isu, struktur dan personel yang wujud dalam konflik; serta mengkaji impak transformasi
ini ke arah perubahan konstruktif yang boleh membawa penyelesaian konflik. Kajian ini
berbentuk kualitatif dengan pengumpulan data berbentuk primer dan sekunder. Data
primer diperoleh melalui temu bual secara mendalam (In-depth Interview) dengan
pemimpin organisasi dan ketua pasukan bersenjata bagi setiap kumpulan PGPP yang
aktif. Manakala data sekunder (tesis, buku, laman sesawang, artikel, jurnal, keratan
akhbar dan laporan) digunakan untuk memantapkan lagi penemuan-penemuan yang
diperoleh daripada temu bual secara mendalam. Kajian ini mendapati bahawa PGPP
khususnya PULO dan BRN aktif melakukan perubahan bagi menyesuaikan pendekatan
perjuangan mereka dengan persekitaran politik semasa. Pendekatan perdamaian dan
diplomasi semakin diterima sebagai pendekatan utama oleh kelompok ini berbanding
pendekatan bersenjata yang masih sebenarnya digunakan untuk menekan pemerintah
Thailand bagi melihat kesungguhan rakyat Patani dalam memperjuangkan kepentingan
mereka. Akhir sekali, kajian ini mendapati bahawa transformasi juga berlaku dalam
perhubungan antara PGPP dengan masyarakat Patani, khususnya masyarakat sivil dalam
dan luar negeri. Ini seterusnya memberi kesan yang positif kepada potensi penyelesaian
konflik di Selatan Thailand. Masyarakat sivil dilihat sebagai mempunyai potensi untuk
menghubungkan PGPP dengan pemerintah Thailand dan masyarakat umum di Patani, di
samping memainkan peranan untuk mentransformasikan keadaan melalui peningkatan
kapasiti PGPP dan menyediakan mereka untuk proses perundingan dan perdamaian
seterusnya. Sebagai kesimpulan, hasil kajian ini boleh dilihat sebagai menyumbang
kepada proses mencari penyelesaian konflik yang berkekalan di wilayah Selatan
Thailand.
Actions (login required)
|
View Item |