Transformasi Gerakan Pemisah Dan Potensi Penyelesaian Konflik Di Selatan Thailand

Yaacob, Che Mohd Aziz (2013) Transformasi Gerakan Pemisah Dan Potensi Penyelesaian Konflik Di Selatan Thailand. PhD thesis, Universiti Sains Malaysia.

[img]
Preview
PDF
Download (225kB) | Preview

Abstract

Konflik di Selatan Thailand telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Perjuangan untuk memerdekakan kawasan ini telah berlangsung dengan melibatkan pelbagai kelompok termasuk pihak beraja, ulama, serta kumpulan-kumpulan pejuang kemerdekaan yang terbentuk sejak tahun-tahun 1950an dan 1960an. Perjuangan kemerdekaan ini telah meletakkan kumpulan-kumpulan ini bertentangan dengan pemerintah Thailand dalam konflik “penentu nasib sendiri” (self-determination) yang melibatkan isu-isu identiti, politik, sosio-ekonomi, keadilan, dan lain-lain lagi. Kajian ini memfokuskan kepada kumpulan-kumpulan ini dengan melihat kepada transformasi mereka dari segi organisasi, pergerakan, strategi serta hala tuju, dan potensinya kepada transformasi situasi konflik di Selatan Thailand. Beberapa persoalan utama ditanya oleh kajian ini termasuk apakah perubahan-perubahan yang berlaku dalam Pertubuhan Gerakan Pembebasan Patani (PGPP) selepas tahun 2004 dan impaknya kepada transformasi konflik? Adakah transformasi PGPP ini telah membawa kepada perubahan yang konstruktif atau sebaliknya? Siapakah atau kumpulan manakah yang aktif dan memberi impak kepada proses transformasi ini? Akhir sekali, apakah dinamika hubungan antara kumpulan-kumpulan PGPP ini dan apakah kesannya kepada proses transformasi. Soalan-soalan ini dikemukakan bagi mencapai objektif kajian termasuk mengenal pasti elemen perubahan dalam PGPP; bagaimana ianya mempengaruhi transformasi konteks, isu, struktur dan personel yang wujud dalam konflik; serta mengkaji impak transformasi ini ke arah perubahan konstruktif yang boleh membawa penyelesaian konflik. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan pengumpulan data berbentuk primer dan sekunder. Data primer diperoleh melalui temu bual secara mendalam (In-depth Interview) dengan pemimpin organisasi dan ketua pasukan bersenjata bagi setiap kumpulan PGPP yang aktif. Manakala data sekunder (tesis, buku, laman sesawang, artikel, jurnal, keratan akhbar dan laporan) digunakan untuk memantapkan lagi penemuan-penemuan yang diperoleh daripada temu bual secara mendalam. Kajian ini mendapati bahawa PGPP khususnya PULO dan BRN aktif melakukan perubahan bagi menyesuaikan pendekatan perjuangan mereka dengan persekitaran politik semasa. Pendekatan perdamaian dan diplomasi semakin diterima sebagai pendekatan utama oleh kelompok ini berbanding pendekatan bersenjata yang masih sebenarnya digunakan untuk menekan pemerintah Thailand bagi melihat kesungguhan rakyat Patani dalam memperjuangkan kepentingan mereka. Akhir sekali, kajian ini mendapati bahawa transformasi juga berlaku dalam perhubungan antara PGPP dengan masyarakat Patani, khususnya masyarakat sivil dalam dan luar negeri. Ini seterusnya memberi kesan yang positif kepada potensi penyelesaian konflik di Selatan Thailand. Masyarakat sivil dilihat sebagai mempunyai potensi untuk menghubungkan PGPP dengan pemerintah Thailand dan masyarakat umum di Patani, di samping memainkan peranan untuk mentransformasikan keadaan melalui peningkatan kapasiti PGPP dan menyediakan mereka untuk proses perundingan dan perdamaian seterusnya. Sebagai kesimpulan, hasil kajian ini boleh dilihat sebagai menyumbang kepada proses mencari penyelesaian konflik yang berkekalan di wilayah Selatan Thailand.

Item Type: Thesis (PhD)
Subjects: L Education > LC Special aspects of education > LC5800-5808 Distance education.
Divisions: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (School of Distance Education) > Thesis
Depositing User: Mr Mohammad Harish Sabri
Date Deposited: 11 Feb 2019 06:47
Last Modified: 12 Apr 2019 05:26
URI: http://eprints.usm.my/id/eprint/43269

Actions (login required)

View Item View Item
Share