Wan Ali, Wan Nordiana
(2023)
Reka Bentuk Penilaian Inventori Fakad Rumah Kedai Warisan: Kajian Kes Bandaraya Ipoh, Perak.
PhD thesis, Perpustakaan Hamzah Sendut.
Abstract
Pada hari ini, banyak rumah kedai warisan di kawasan bandar utama di Malaysia
termasuk Bandaraya Ipoh, Perak, dilihat masih tetap utuh. Aset seni bina ini adalah
penting kerana menggambarkan kegemilangan dan pencapaian Bandaraya Ipoh sejak
berabad lamanya. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian rumah kedai warisan ini
mengalami perubahan tidak wajar pada fakad disebabkan oleh aktiviti yang tidak
mematuhi prinsip pemuliharaan. Situasi ini telah mencetuskan fenomena karektor seni
bina yang tidak konsisten pada elemen fakad. Oleh itu, penyelidikan ini memfokuskan
kepada dua aspek iaitu membangunkan matriks taksonomi gaya seni bina serta rubrik
intervensi yang bertujuan untuk mendokumentasi serta menilai tahap keutuhan reka
bentuk fakad rumah kedai warisan. Kaedah pemerhatian berstruktur terhadap rumah
kedai warisan telah dijalankan di Kawasan Warisan Bandaraya Ipoh untuk gaya seni
bina Peralihan, Eklektik, Neoklasik, Seni Dekorasi, Awal Moden dan Moden. Selain
itu, pemerhatian berstruktur juga dijalankan untuk mengkaji pelbagai masalah dan
intervensi fakad seperti pemeliharaan, keusangan, penggantian, reka bentuk semula dan
sebagainya. Unit analisis pula merangkumi elemen fakad rumah warisan termasuklah
struktur, litupan bangunan, bukaan, fenestrasi dan ornamen. Data terkumpul diproses
secara analisis kandungan menggunakan teknik pengekodan terbuka dan tematik untuk
mendapatkan senarai karektor seni bina fakad, kategori masalah serta intervensi yang
berlaku pada fakad rumah kedai warisan. Hasil penyelidikan menemukan matrik
taksonomi gaya seni bina dan rubrik intervensi fakad rumah kedai warisan yang
kemudiannya diformulasi untuk membangunkan instrumen penilaian eFakad.
Penggunaan eFakad sebagai inventori oleh Pihak Berkuasa Tempatan boleh
meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan maklumat serta garis panduan reka
bentuk fakad rumah kedai warisan yang sedia ada dalam pengurusan pemuliharaan
bangunan warisan. Disamping itu, penambahbaikan sistem pengurusan pemuliharaan
bangunan warisan ini memberi implikasi makro dan mikro terhadap konsep reka bentuk
bandar dengan pengekalan keutuhan fizikal fakad rumah kedai warisan serta
keharmonian latar langit dan lanskap bandar Kawasan Warisan Bandaraya Ipoh demi
penghayatan generasi akan datang.
Actions (login required)
|
View Item |