Pembinaan Dan Penilaian Ciri-Ciri Psikometrik Rubrik Pentaksiran Berasaskan Prestasi Kemahiran Abad Ke-21 Dalam Latihan Mengajar

Bakar, Rozaini Abu (2018) Pembinaan Dan Penilaian Ciri-Ciri Psikometrik Rubrik Pentaksiran Berasaskan Prestasi Kemahiran Abad Ke-21 Dalam Latihan Mengajar. PhD thesis, Universiti Sains Malaysia.

[img]
Preview
PDF
Download (1MB) | Preview

Abstract

Kajian ini bertujuan membina rubrik pentaksiran berasaskan prestasi untuk guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menilai prestasi kemahiran abad ke-21 semasa latihan mengajar. Selain itu, kajian ini menilai ciri-ciri psikometrik rubrik yang dibina menggunakan Model Pengukuran Rasch Pelbagai Faset (MFRM) dalam menentukan ketegasan pentaksir, keupayaan guru pelatih, kesukaran item pentaksiran, kefungsian rubrik, hubungan linear antara faset dan kesan interaksi bias dalam pentaksiran. Terdapat tiga fasa dalam proses pembinaan rubrik ini iaitu fasa penggubalan, fasa pengesahan dan fasa pengujian. Fasa penggubalan meliputi analisis kandungan dokumen, proses konsepsualisasi dan operasionalisasi manakala fasa pengesahan meliputi semakan panel pakar dan ujian kebolehlaksanaan rubrik. Untuk fasa pengujian, meliputi ujian psikometrik yang menggunakan perisian FACETS versi 3.71.4 (2014) bagi memperakui kesahan dan kebolehpercayaan rubrik yang dibina. Reka bentuk kajian adalah menerusi pendekatan kuantitatif dan bagi mengukuhkan dapatan kajian kuantitatif, pendekatan kualitatif iaitu melalui kaedah temu bual dijalankan. Dapatan daripada konsepsualisasi dan operasionalisasi menunjukkan sebanyak lapan konstruk kemahiran abad ke-21 dan 69 item pentaksiran dihasilkan berdasarkan pendefinisian setiap konstruk kemahiran yang dilakukan daripada lima kerangka kemahiran abad ke-21 yang terpilih. Rubrik kemudian dikemaskini dan diubahsuai mengikut keperluan melalui ujian kebolehlaksanaan sebanyak empat kitaran yang menghasilkan 50 item pentaksiran yang sesuai untuk menjalani ujian psikometrik. Seterusnya, dapatan akhir daripada MFRM menunjukkan sebanyak 42 item pentaksiran berjaya dihasilkan setelah memenuhi kesemua andaian model Rasch melalui pengujian sebanyak tiga pusingan. Berdasarkan dapatan MFRM menunjukkan para pentaksir berbeza dengan signifikan antara satu sama lain dalam tahap ketegasan mereka. Rubrik yang dibina berjaya mengasingkan ukuran keupayaan guru pelatih dan cukup sensitif untuk membezakan antara guru pelatih yang berkeupayaan tinggi dan berkeupayaan rendah. Selain itu, skala pemeringkatan pada rubrik berfungsi dengan ideal dan didapati sesuai dengan kumpulan sasaran. Kesimpulannya, kajian ini berjaya menghasilkan satu instrumen baru dalam pentaksiran latihan mengajar berasaskan kemahiran abad ke-21 di IPG yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi dan sistematik.

Item Type: Thesis (PhD)
Subjects: L Education > L Education (General) > L7-991 Education (General)
Divisions: Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (School of Educational Studies) > Thesis
Depositing User: HJ Hazwani Jamaluddin
Date Deposited: 08 Oct 2021 07:25
Last Modified: 08 Oct 2021 07:25
URI: http://eprints.usm.my/id/eprint/50202

Actions (login required)

View Item View Item
Share