Mohamed, Arbaktun Mardiah
(2006)
Kajian mengenai persepsi pelajar ijazah
Sarjana Muda Sains Kesihatan
Kejururawatan terhadap keberkesanan
fasilitator klinikal.
Other.
Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.
(Submitted)
Abstract
Profesion kejururawatan merupakan kerjaya yang sangat mencabar. Kawasan
klinikal merupakan satu tempat yang sangat berkesan dalam membentuk kemahiran,
mendalami ilmu pengetahuan serta memupuk nilai-nilai murni dalam memberi
perawatan. Tanpa kerjasama daripada fasilitator klinikal adalah sukar bagi pelajar untuk
mencapai objektif pembelajaran mereka. Pelajar memerlukan seorang fasilitator yang
boleh membantu dan memahami mereka bahawa kesalahan yang dilakukan merupakan
peluang untuk mereka belajar. Fasilitator klinikal mempunyai peranan yang sangat
penting bagi melahirkan jururawat yang berkualiti. Oleh itu, penyelidik merasakan kajian
seperti ini adalah penting untuk membangun serta memperkembangkan lagi pendidikan
kejururawatan.
Kajian dilakukan untuk meninJau persepsi pelajar kejururawatan terhadap
keberkesanan fasilitator klinikal. Selain itu , untuk mengenalpasti ciri-ciri fasilitator
klinikal yang dikategorikan sebagai berkesan. An tara em pat kategori yang dikaj i adalah
Kecekapan Profesional, Hubungan Interpersonal, Sifat Keperibadian dan Kebolehan
Mengajar. Kajian juga adalah untuk meninjau jika terdapat perbezaan persepsi pelajar
tahun tiga dan tahun empat(tahun akhir).
Kajian dilakukan ke atas seramai 68 orang pelajar kejururawatan tahun tiga dan
empat Pusat Pengajian Sains Kesihatan. Penyelidik menggunakan borang soal selidik
yang diadaptasi daripada kajian yang dijalankan oleh Tang, Chou & Fang (2003). Data
dikumpul dan dirumuskan menggunakan komputer melalui perisian ' Statistical Packing
Social Science' (SPSS) versi 12.0. Analisis yang dilakukan adalah berbentuk statistik
diskriptif.
Keputusan kajian ini menunjukkan responden telah menyatakan bahawa hanya
dua kategori yang mempengaruhi keberkesanan fasilitator klinikal iaitu kebolehan
mengajar serta sifat keperibadian. Antara ciri-ciri fasilitator klinikal yang dikatakan
berkesan oleh responden adalah mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bidang
kejururawatan, memperlakukan pelajar dengan penuh pertimbangan dan kebijaksanaan,
menunjukkan sifat sabar dan dapat mengawal kemarahan serta sifat bekerjasama dan
memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar. Selain itu, secara keseluruhan bagi
keempat-empat kategori yang dikaj i perbezaan persepsi kesemuanya adalah kurang
daripada 10%.
Kesimpulan :- Penyelidik merumuskan terdapat empat aspek yang perlu ada dalam
pembelajaran klinikal merangkumi ciri-ciri fasilitator yang berkesan iaitu:
1. Latihan klinikal memerlukan perkongsian komitmen serta sifat bekerjasama
yang tinggi antara pelajar dan juga fasilitator. Oleh itu , sifat keperibadian dan
hubungan interpersonal sangat diperlukan oleh seseorang fasilitator itu.
2. Latihan klinikal memerlukan kecekapan profesional yang tinggi oleh
fasilitator agar menjadi contoh dalam memberikan perawatan yang berkualiti
tinggi. Hal ini, mampu melahirkan jururawat yang berkaliber serta kompeten
pada masa akan datang.
3. Memberi sokongan serta galakan yang berterusan juga merupakan aspek
penting yang perlu dimiliki sebagai seorang fasilitator. Aspek kebolehan
mengajar ini akan membentuk suasana pembelajaran klinikal yang efektif
memandangkan ia mampu membuatkan pelajar berkeyakinan dalam memberi
perawatan semasa menjalani latihan klinikal.
4. Akhir sekali, penyelidik merasakan dengan menjadi penilai serta penyelia
yang baik dan adil merupakan aspek penting agar pelajar-pelajar akan
berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki kelayakan bergelar jururawat.
Actions (login required)
|
View Item |