Khaderi, Shamsida Saidan
(2011)
Perlaksanaan Projek Inisiatif Pembiayaan Swasta Di Peringkat Pra-Pembinaan.
PhD thesis, Universiti Sains Malaysia.
Abstract
Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) di Malaysia telah dihujani oleh pelbagai
kontroversi dan kritikan sejak dari perlaksanaannya. Namun, penyelidikan
mendalam terhadap perlaksanaan PFI amat kekurangan. Oleh itu, kajian ini
dihasilkan bertujuan untuk mengkaji pelaksanaan PFI di peringkat pra-pembinaan
berdasarkan kepada objektif-objektif berikut iaitu: untuk mengenal pasti
persamaan dan perbezaan PFI Malaysia berbanding dengan negara lain, untuk
mengenalpasti isu-isu dan kekangan yang timbul, untuk menentukan ciri-ciri utama
dan faktor kejayaan dan akhirnya membangunkan satu rangka kerja bagi
meningkatkan perlaksanaan projek PFI. Data kajian didapati dari kaedah kajian
temubual semi-struktur ke atas 35 orang pakar dan sembilan kajian kes (di mana
setiap tiga kes mewakili PFI Mod 1, PFI Mod 2 dan PFI Mod 3). Penemuan kajian
mendapati berbezaan perlaksanaan PFI di Malaysia dengan negara lain adalah
berdasarkan kepada tujuan, pembiayaan, pengurusan, pengagihan risiko dan
penyelenggaraan. Tujuh isu dan kekangan telah dikenal pasti iaitu: spesifikasi
output dan penyataan keperluan yang tidak jelas, ketidak telusan, campurtangan
politik, kekaburan garis panduan, pemberian kontrak langsung, kekurangan
elemen penyelenggaraan dan kekaburan konsep PFI. Sepuluh faktor kejayaan
telah dikenal pasti iaitu: pengagihan risiko yang adil, kerjasama awam swasta,
spesifikasi output yang komprehensif, nilai untuk wang, budaya penyelenggaraan,
inovasi, pembayaran berdasarkan prestasi, kos keseluruhan memenuhi jangka hayat, ketelusan dan pembiayaan. Struktur rangka kerja bagi meningkatkan
perlaksanaan projek PFI di peringkat pra-pembinaan dibangunkan setelah ujian
dan pengesahan dijalankan oleh para pengamal industri. Rangka kerja ini dijangka
dapat membantu pihak penggiat industri terutamanya pihak kontraktor di dalam
membuat keputusan yang baik dalam menjalankan projek PFI.
Actions (login required)
|
View Item |